Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka menahan dua lelaki warga tempatan dan merampas 912,480 batang rokok tidak sah bernilai RM498,214 termasuk cukai di dua lokasi berbeza di Melaka pada Jumaat.

Pengarahnya Datuk Mohd Nasir Said berkata dalam rampasan pertama pada 10 pagi tadi, seorang pemandu lori berusia 30-an ditahan bersama 52,480 rokok putih jenama Manchester bernilai RM28,654 termasuk cukai dalam satu sekatan jalan raya melibatkan 10 anggota JKDM Melaka di Jalan Ayer Keroh-Bemban.

"Hasil siasatan terhadap pemandu lori tersebut, kita berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 30-an sejam kemudian dan merampas 860,000 batang rokok jenama sama bernilai RM469,560 di sebuah stor di Durian Tunggal," katanya.

Beliau berkata kedua-dua lelaki tersebut kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang larangan dan Seksyen 135(1)(d) akta sama kerana mengawal dan menyimpan barang-barang larangan.

Katanya pemeriksaan awal mendapati kotak rokok yang dipercayai diedarkan untuk pasaran Melaka dan selatan tanah air itu disyaki menggunakan dakwat keselamatan palsu.